Kuala Lumpur: Selepas menyepi hampir lima tahun sejak 2011, insiden tertelan jeli kristal kembali ‘menghantui’ kanak-kanak di negara ini apabila tujuh kes dilaporkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sepanjang tahun lalu.
Pakar Bedah Pediatrik, Institut Pediatrik HKL, Dr Mohd Yusof Abdullah berkata, jumlah itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes tertelan jeli sebanyak 14 kes.
Menurut Mohd Yusof, tiga kes direkodkan pada 2010 manakala empat kes 2011 sebelum penjualan jeli kristal diharamkan pada Ogos 2011.
“Namun pada tahun lalu, jeli ini kembali memasuki pasaran hingga menyebabkan tujuh lagi kes diterima tahun lalu. Kes yang diterima membabitkan kanak-kanak berusia enam bulan hingga tiga tahun,” katanya.
Menurutnya, secara dasarnya jeli kristal dijual pada saiz lima milimeter, namun sekiranya direndam ia mampu mengembang 30 hingga 60 kali ganda.
“Malah hasil pemantauan kami di HKL, jeli kristal mampu mengembang hingga saiz bola ping pong,” katanya.
Menurutnya, terdapat beberapa tanda awal dapat dikesan sekiranya bayi atau kanak-kanak tertelan bahan berkenaan.
“Pada awalnya pesakit akan muntah-muntah dan perut mula mengembung. Selepas itu muntah akan bertukar kepada warna hijau manakala keadaan pesakit akan menjadi lemah kerana kekurangan air.
“Perkara ini terjadi kerana usus bayi masih lagi kecil. Malah jika jeli ini mengembang, ia akan tersumbat pada usus kecil dan kemudian gagal memasuki usus besar,” katanya ketika ditemui di Unit Pediatrik, HKL, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebagai langkah penyelesaian, pihak hospital terdahulu akan bertindak dengan menjalankan X-ray dan ‘ultra-sound’ bagi mengenal pasti bahagian usus yang tersumbat.
“Selepas mengenal pasti kedudukan, usus akan dipotong bagi mengeluarkan jeli yang sudah mengembang itu.
“Usus kemudian akan dicantum dan dijahit manakala pesakit selalunya akan pulih dalam tempoh sekurang-kurangnya lima hari,” katanya.
Menurutnya, biarpun setakat ini tiada lagi pesakit yang maut akibat tertelan bahan berkenaan, namun ibu bapa diminta supaya membawa anak mereka ke hospital dengan kadar segera.
“Berdasarkan rekod kami, ibu bapa hanya menyedari anak mereka tertelan jeli kristal antara dua hingga tiga hari. Namun sekiranya lewat, jeli berpotensi untuk kembang hingga 60 kali ganda dan boleh menyebabkan usus koyak.
“Sekiranya itu berlaku, ia boleh mengakibatkan jangkitan kuman, sekali gus membawa maut kepada pesakit,” katanya.
0 Response to "TERTELAN BEBOLA KRISTAL GEL - Kini Dah Kembali Selepas menyepi hampir lima tahun sejak 2011"
Post a Comment