Melihat si kecil menikmati makanannya dengan bersungguh-sungguh pasti membuatkan kita berasa gembira. Setelah anak kenal dengan istilah makan, maka tibalah masanya untuk anda perkenalkan lebih mendalam tentang makanan.
Biarpun susu adalah bahan yang penting dalam diet harian bayi, tetapi susu tidak lagi berupaya membekalkan nutrien yang secukupnya untuk tumbesaran mereka. Tetapi adakalanya ada bayi yang cerewet makan dan enggan menerima sebarang makanan yang diperkenalkan.
Bagaimana hendak memancing minat si comel untuk makan? Lakukan beberapa perkara ini untuk menjadikan waktu makan itu menyeronokkan.
1. Perkenal Pelbagai Perisa
Pada peringkat ini, adalah baik jika anda mula perkenalkan anak kepada pelbagai makanan perisa dan nutrien untuk bekal pada masa hadapannya. Antara yang disarankan untuk menyeimbangkan menu bayi berusia enam hingga sembilan bulan ialah ikan dan keju.
2. Variasi Menu
Jika berhasrat untuk memberi anak makan telur, pastikan telur tersebut betul-betul masak dan dilenyek sehingga hancur untuk mengelakkan anak tercekik semasa makan. Untuk menambahkan variasi pada makanan anak, elok juga jika anda memberi mereka makan pasta.
3. Zat Besi Berkurangan
Bermula daripada usia enam bulan, simpanan zat besi bayi akan mula berkurangan. Oleh itu sangat penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak mengambil makanan yang mengandungi zat besi dalam diet mereka setiap hari. Makanan dan minuman yang kaya dengan vitamin C berupaya untuk meningkatkan penyerapan zat besi.
4. Setiap Bayi Berbeza
Kebiasannya, bayi memerlukan satu hingga empat sudu besar makanan setiap kali tiba waktu makannya. Jangan panik sekiranya anak anda makan kurang ataupun lebih daripada sukatan itu. Atas alasan itu, anda disarankan memperkenalkan makanan tiga kali sehari kepada anak. Dengan cara ini, bayi yang kurang makan pasti akan mendapat khasiat secukupnya apabila mengambil makanan tiga kali sehari.
5. Tolak Bila Kenyang
Manakala bagi bayi yang makan banyak, dia pasti akan menolak jika perut sudah kenyang. Bagi anak yang memilih makanan, berikan sahaja puri kepadanya sehingga dia jemu sebelum anda menukarkan makanannya kepada yang lebih kasar.
6. Kurang Minum Susu
Apabila selera anak terhadap makanan meningkat, anda dapati anak kurang minum susu. Keadaan ini adalah normal. Bagaimanapun, anda perlu pastikan anak terus minum susu setiap hari. Anda tidak digalakkan memberi anak minum susu ketika makan kerana susu menyebabkan anak cepat kenyang. Sebagai ganti susu pada waktu makan, berikan anak air masak atau jus buah-buahan yang dicairkan.
7. Makanan Jejari
Makanan finger foods sangat sesuai untuk memberi keselesaan kepada gusi bayi terutamanya yang baharu tumbuh gigi. Dalam masa yang sama, makanan jenis ini membantu bayi belajar menggunakan jari-jemarinya dan mengunyah. Antara yang boleh dijadikan finger foods ialah potongan lobak merah yang telah dikukus, epal, pisang dan betik. Selain itu, roti dan biskut sesuai terutamanya untuk memperkenalkan anak anda kepada makanan yang berbeza teksturnya.
0 Response to "Baby Tak Suka Makan, Ikuti Langkah ini........."
Post a Comment