Statusnya yang digelar 'pondan' tidak menghalangnya untuk berbakti kepada masyarakat dan agama.
Oleh itu, sebanyak 100 bungkus nasi lemak akan diagih ke masjid-masjid di sekitar Kuala Lumpur pada setiap hari Jumaat.
Itu niat Jojie Kamaruddin, sebagai tanda syukur selepas "nasi lemak pondan" yang diusahakannya berhasil dan menjadi tular hanya dalam masa beberapa hari.
Pilihan Editor
Rio Fermoso: Kenapa saya sahaja yang tahu?
Bermula dengan mencuba nasib dan sekadar 'suka-suka', gerai nasi lemak pondan yang terletak di Jalan Sri Permaisuri, Cheras itu kini semakin mendapat sambutan.
Pemiliknya yang lebih senang dengan sapaan Jojie berkata, niat untuk bersedekah kepada masjid dibuat selepas dia berjaya memperolehi pendapatan mencecah RM2,000 sehari hasil jualan nasi lemaknya.
"Jadi saya pasang niat untuk sedekahkan 100 bungkus setiap Jumaat di masjid sekitar Kuala Lumpur dan adik-adik saya akan bertanggunjawab untuk menghantar nasi lemak tersebut," katanya ketika ditemui Malaysiakini di gerainya baru-baru ini.
Jojie, yang juga merupakan seorang pereka fesyen dan perunding majlis perkahwinan berkata pada awalnya dia sekadar mencuba untuk berniaga nasi lemak selepas butik miliknya ditutup, namun tidak menyangka ia akhirnya membuahkan hasil.
Bagaimanapun Jojie berkata dia sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cemuhan dan kritikan, memandangkan status dirinya yang digelar sebagai 'pondan' dan nama nasi lemaknya yang unik.
"Apatah lagi selepas perniagaan saya ini mendapat publisiti, sudah tentu ada yang tidak puas hati. Bukan saya sahaja, sesiapa sahaja yang berniaga perlu bersedia dengan risiko itu,” kata Jojie yang kini meneruskan perniagaan butik secara dalam talian.
Nasi lemak asli
Jelas Jojie, meskipun dia seorang pondan atau digelar mak nyah oleh masyarakat, namun nasi lemaknya adalah 'asli dan halal untuk dimakan'.
“Nasi lemak saya memang asli, walau siapa pun yang masak nasi lemak itu. Saya sendiri manusia seperti kamu. Jadi yang masak (nasi lemak) ini pun manusia dan tak ada istilah haram, tidak ada istilah kecelaruan,” jelas anak kelapan daripada 17 adik-beradik.
Malaysiakini juga berkesempatan meninjau pendapat beberapa orang pelanggan Jojie.
Antaranya Mohd Shahrul Ridzuan Sanusi, 30 yang sanggup beratur panjang untuk merasai nasi lemak dihasilkan Jojie.
"Sambalnya sedap. Selalu tunggu giliran dalam 15 hingga 20 minit,” katanya yang sering membeli enam hingga ke tujuh bungkus nasi lemak tersebut.
Bagi Mani a/l Muniandi,53, beliau pertama kali datang ke gerai nasi lemak pondan setelah namanya menjadi tular di media sosial.
“Kalau tak sedap orang tak akan beratur. Saya tertarik mahu cuba beli kerana namanya ‘nasi lemak pondan’,” kata beliau.
Idea datang dari ibu
Pada masa ini Jojie menghidangkan nasi lemak biasa dengan menu asas seperti telur, ikan bilis, timun yang dijual pada harga RM1.80 sebungkus.
Selain itu terdapat menu seperti sambal sotong, ayam masak merah, ayam masak kari, ayam masak rendang, sambal paru dann ayam goreng.
Kata Jojie, idea membuka gerai itu datang daripada ibunya sendiri yang telah menjual nasi lemak selama lebih 36 tahun.
Menurutnya, ibunya membesarkan semua 17 adik beradiknya dengan hasil jualan nasi lemak selepas bapa mereka bersara awal akibat jatuh sakit.
Ketika ditanya mengenai lesen menjaja daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jojie berkata dia sedang dalam proses membuat permohonan.
"Sebenarnya perniagaan saya ini manja-manja saja, saya tak fikir nak mohon lesen (penjaja) tapi oleh kerana sambutan memberansangkan saya kini dalam proses membuat permohonan," kata Jojie.
Sebelum ini, 'nasi lemak anak dara' antara yang menjadi tular di media sosial kerana namanya yang unik.
Gerai Nasi Lemak Pondan milik Jojie dibuka dari Isnin hingga Jumaat, bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam.
0 Response to "Pendedahan Kenapa Perlu Tunjuk dada, Nasi Lemak Pondan DikecamTeruk - Tapi Ramai Orang beli tu"
Post a Comment