Propellerads
Propellerads

Fauziah Nawi sedih dengan sikap sambil lewa pelakon



FAUZIAH Nawi antara bintang berpengalaman yang terus mewarnai dunia seni.



KUALA LUMPUR: Sikap pelakon yang sambil lewa dan tidak membuat persediaan sebelum memasuki set penggambaran bukan saja menyusahkan sesebuah produksi, tetapi turut mencalarkan reputasi industri seni lakon.
Pelakon dan penggiat teater, Fauziah Nawi, yang sering berdepan insiden seperti itu meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pelakon yang tidak pandai menghormati kerjaya lakonan sekali gus memberi gambaran buruk kepada masyarakat terhadap dunia seni secara keseluruhan.
"Saya sering berdepan dengan pelakon yang ada masalah 'attitude' apabila berada di lokasi. Sudahlah tidak hafal skrip dan tak faham karakter mereka, boleh pula bawa telefon ketika di set.
"Sepatutnya, apabila berada di set penggambaran, mereka sudah bersedia dari segala segi. Sebaliknya, ketika itulah nak suruh pengarah atau pelakon lain tolong ajar.
"Disebabkan dia seorang yang tidak boleh berlakon, tak semena-mena jadual penggambaran yang sepatutnya singkat jadi berlanjutan. Apabila ditegur, mereka tidak boleh terima. Macam mana masyarakat hendak hormat kejayaan seseorang pelakon itu kalau mereka sendiri tak hormat dengan kerjaya mereka," kata Fauziah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkataan #RESPEK yang diangkat sebagai tema Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29).
Kebetulan baru-baru ini, isu yang sama turut diluahkan bekas penyampai radio RTM ini di laman Facebooknya.
Menurut pelakon berusia 62 tahun ini, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan pelakon generasi baharu ketika ini lebih berpaksikan wang ringgit dan glamor, menyebabkan ramai di antara mereka tidak mampu bertahan lama.
"Baru-baru ini, saya berlakon dengan pelakon senior lain seperti Datuk Rahim Razali, Datuk Rosyam Nor dan Eman Manan. Walaupun mereka pelakon hebat, tetapi mereka tetap berlatih dan kami duduk berbincang bagaimana untuk memantapkan lagi lakonan masing-masing.
"Situasi Ini berbeza dengan pelakon generasi baharu yang lebih suka mengasingkan diri dan buat hal masing-masing. Mereka kena ingat, populariti takkan kekal selama-lamanya. Apabila lakonan tidak bagus, stesen TV takkan ambil. Akhirnya, diri sendiri yang rugi," kata Fauziah yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-12 menerusi filem Sayang Salmah.
Selain bergelar pelakon, pengarah dan juruhebah, Fauziah juga seorang penyanyi dan pernah mempunyai dua album iaitu Hitam Manis Berseri (1974) dan Kasihku Kasihmu (1975).

0 Response to "Fauziah Nawi sedih dengan sikap sambil lewa pelakon"

Post a Comment