Propellerads
Propellerads

EgyptAir hilang: Pesawat berpusing secara tiba-tiba pada ketinggian 22,000 kaki, tiada warganegara Malaysia terlibat





ATHENS: Pesawat EgyptAir MS804 bersama 66 penumpang yang hilang dari radar pada Khamis jatuh dari ketinggian 22,000 kaki dan berpusing dengan tiba-tiba di ruang udara Mesir sebelum hilang dari skrin radar, kata Menteri Pertahanan Greece.

"Pesawat itu berpusing 90 darjah ke kiri dan kemudiannya berpusing 360 darjah ke kanan, sebelum jatuh dari ketinggian 37,000 kaki ke 15,000 kaki dan isyaratnya hilang pada ketinggian 10,000 kaki," Panos Kammenos memberitahu media dalam satu sidang akhbar.

"Buat masa ini pesawat itu masih hilang. Tiada petunjuk jelas dari pencarian setakat ini," katanya.

Pesawat malang itu dalam perjalanan dari Paris ke Cairo dan dipercayai hilang kira-kira 130 batu nautika dari Pulau Karpathos, antara Crete dan Rhodes.

Juruterbang ada menghubungi pengawal udara Greece 25 minit sebelum hilang, namun tidak melaporkan sebarang masalah.

Kenyataan dari Jabatan Penerbangan Awam memaklumkan juruterbang kedengaran "ceria dan berterima kasih apabila diberi pelepasan untuk keluar dari ruang udara Athens".

"Pesawat itu juga tidak dikesan melencong dari arah koordinat yang diberi," kata Ketua Jabatan Penerbangan Awam, Constantinos Litzerakos kepada Antenna TV.

Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada warganegara Malaysia terbabit dalam insiden  pesawat Egyptair MS804 yang dilaporkan hilang dari radar semasa melintasi Laut Mediterranean dalam perjalanan dari Paris ke Kaherah.

Kementerian luar mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan selepas insiden itu disahkan oleh syarikat penerbangan Egyptair.

Pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris pada 18 Mei 2016 jam 11.09 malam dan dilaporkan hilang dari radar pada jam 2.45 pagi waktu tempatan setelah masuk ke dalam ruang udara Mesir.

0 Response to "EgyptAir hilang: Pesawat berpusing secara tiba-tiba pada ketinggian 22,000 kaki, tiada warganegara Malaysia terlibat"

Post a Comment